Catatan Pengalaman : Legasi Abah .
( Catatan Perjalanan Seorang Abah ) .
1.0. Memori Silam .
Terbayang sesosok tubuh yang kurus dan cengkung , seakan tiada bermaya tetapi sebenarnya mata beningnya tetap bercahaya . Penuh semangat , walaupun hampir hilang dek kedut yang semakin ketara dimamah usia . Apapun katanya tetap keramat . " Tiada harta yang abah akan tinggalkan . Yang nilah peluang yang ada " . " Belajar rerajin !..... . Pengalaman perit mengusahakan petak-petak sawah yang tidak mengenal erti kepayahan , mungkin menjadikan abah seorang yang sentiasa optimis tentang hidup dan kehidupan . Digagahi setiap ruang dan peluang yang ada . Al- fatihah untuk arwah abah. .
Arwah Abah tegas tapi penyayang . |
2.0. Memori Semalam .
Kini abah menelusuri laluan dan eroni yang sama . Dengan kurniaan enam cahaya mata membangkitkan memori abah , kerana kini abah juga sudah menjadi seorang abah yang mempunyai watak dan perwatakan sama seperti " abah " abah dulu . Sesuatu yang tidak pernah dibayangkan . Inilah hakikat kitaran hidup . Mungkin sukar abah terima seketika dahulu , mengapa saban kali raya , baju " abah " abah jarang bertukar sedangkan anak-anak abah sentiasa diberikan yang terbaik mungkin .
Untuk anak-anak abah , setiap memori yang abah lalui akan cuba abah lakar dan rakamkan di sini untuk perkongsian kita . Moga kalian tahu setiap anak abah ada nilai , harganya dan wawasannya . Ya.... sebagaimana yang diamanahkan , Inshaa Allah !.... hadirnya kalian di sisi abah dan emak tetap kami hargai . Ingatlah . Kalian umpama rangkuman urat dan denyutan nadi bagi abah dan emak . Kalianlah yang mewarnai perjalanan kehidupan abah dan emak . Apapun setiap perjalanan ada likuannya . Ingatlah ........Ada hikmah yang Allah beri dalam setiap likuan perjalanan dalam kehidupan ini . Gapaian kebahagiaan , kejayaan dan kecemerlangan tidak semudah dan semurah membina impian dan angan-angan . Tetapi!...... , tidak mustahil juga kita capai , jika ada keinginan dan dorongan .
Apapun , Alhamdulilah ........... Kini , kalian sudah berupaya melalui sebahagiannya . Abah kagum dengan kalian , walaupun terkadang tersandung sebentar dalam perjalanan semalaman yang melelahkan . Abah tahu ....... Kalian berhenti ketika kerana kepenatan . Namun , abah pasti itu bukan bermakna kalian mengalah , kalian menghela nafas seketika kerana kalian mencari ruang untuk mengadah dan mengatur langkah baru agar jejak dalam perjalanan hari esok lebih bermakna . Sepastinya abah memahami , kalian lebih arif mengurus dan merencana perjalanan kalian . Betul.......kan ! .Teringat abah pesanan nabi kita " didiklah anak mengikut zamannya " ... Allah juga tidak mewajarkan yang bulat datang menggolek , yang pipih datang melayang sesuatu yang acap terjadi dalam kehidupan kita ... Justeru itu ..... berusahalah !....
Anak-anak abah :
2.1. Si Along Abah .
Lahirmu takala abah masih di bumi Kenyalang . Mudah diurus . Seusai pagi , bersama Kak Dayang . Beruntung kerana diberi gelaran Awang . Seketika bersama abah , seusai habis tugasan abah di padang dan sebelum kesekolah semula kerana hakiki tugas abah di sebelah petang . Seusai bersama Kak Dayang kembali , apabila abah kembali ke sekolah menjelang tengah hari . Menjelang petang , kembali bersama emak . Itulah rutinan sepanjang tiga tahun berada di Bumi Kenyalang. Along membesar ketika abah gigih mencari ruang dan peluang membina kesempurnaan kerjaya . Kehadiran along banyak mematangkan abah dalam agihan masa untuk kerjaya dan keluarga . Sesibuk mana sekalipun di padang dan sekolah , tatapan di buaian untuk anak abah tetap ada . Alhamdulillah !..... Tew yang terkadang sebak bila balik sekolah , buaian kosong !... Rupanya !... Kak Dayang bawa along balik jumpa dengan nenek dan Hafiz .
Karektor along , lembut biarpun nampak besar dan berisi . Dibuli!..... sesuatu yang normal rasenya semasa di sekolah rendah . Abah tak pernah ambil kesah itu semua , selagi ia tidak mencacat- cederakan along . Abah mahu along tahu itulah ruang kehidupan dan along perlu belajar melaluinya . Cuma emak sesekali menjengah ke sekolah . Yang uniknya , kini penyakat itulah teman rapatmu masa kini . Indahnya Allah aturkan ...........
Dari SK Rompin ke SMK Rompin . Sebumbung dengan abah dan berada di kelas yang abah ajar . Tapi tiada yang istimewa , melainkan kadar dendaan yang sama . Itulah pengajaran awal abah untuk along di kelas yang abah masuki . Seorang anak yang sederhana pencapaian tetapi mewarisi kesungguhan dan ketekunan seperti abah . Kunci dan kekuatan along di situ , itulah pelonjak pencapaian untuk menggapai apa sahaja yang along inginkan pada masa hadpan .
Dari SMK Rompin merintis laluan ke SMS Seremban / SMS Tengku Mukhriz . Dua tahun abah berulang Rompin ke Seremban dan akhirnya ke IPGMTAA , Kuala Lipis pula . Walaupun lebih awal daripada itu , along berada di Pusat Matrikulasi Gambang , kerana cecita awal along ialah jurutera seperti P Anjang / idola along. Along akur dengan pujukan abah dan mak . Along keluar dari Pusat Metrikulasi pada masa itu . Abah tahu along terkesan seketika masa itu . Apapun ..... Alhamdulillah !.... , terima kasih kerana menerima pujukan abah dan emak serta berusaha menjadi penerus legasi Abah dan emak .
Seusai bergraduasi , terus terima tawaran temuduga di KPM Putrajaya . Antara panggilan interview dan posting yang terawal daripada kalangan pelatih seangkatan / PBMSK , PBMSJK ( T ) , dan PKB ) dan di tempatkan di SJK ( C ) Sg. Dua Bentong ... Alhamdulillah !....... Tahniah! untuk along . Tak rugi rasanya along , mendengar dan menerima nasihat abah dan emak untuk memilih bidang perguruan kerana seawal itu along dipostingkan , berbanding rerakan bidang kejuruteraan yang berlebihan di pasaran ketika itu . Lagi untung , apabila along sudah diberikan satu hadiah pergerakan gaji seawal tahun pertama dipostingkan . Rezeki berganda along ketika itu !..... Alhamdulillah !...
Melihat kepada kecenderungan dan keupayaan Long sekarang , abah percaya Along boleh menjadi seorang pentadbir sekolah atau di pengurusan di peringkat yang lebih tinggi dan yang terbaik pada masa hadapan . Cumanya teruskan belajar dan carilah pengalaman mengurus serta gunakanlah ruang , peluang serta kesempatan yang Allah beri dengan cara yang terbaik dan berhemah . Ikhlas dalam pekerjaan dan tidak perlu terlalu mengharapkan ganjaran dan penghargaan manusia kerana takala along berjaya melaksanakan tugasan /amanah dengan cemerlang , Inshaa Allah .......... penghargaan dan ganjaran akan Allah datang bersama !..
Meraikan graduasi Along , Sesuatu yang sangat mengujakan abah dan emak kerana along perintis kejayaan dalam keluarga kita. |
Keluarga kecil Along . Pimpin mereka , agar mereka tahu dan faham hidup ini adalah satu perjuangan . |
2.2. Si Angah Abah .
Selang setahun kelahiran dengan along , menjadikan karektor angah boleh abah jangkakan . Angah sangat berdikari sesuai dengan karektor anak kedua yang biasanya mudah menyesuaikan diri dan mempunyai keinginan untuk bersaing dan menyaingi pada tahap tinggi . Biarpun agak sukar untuk abah memahami di peringkat awal , lama kelamaan abah akur dan faham itulah karektor anak abah .
Lahir di Miri , Sarawak memberikan angah sedikit kelebihan jika ingin kembali ke Bumi Kenyalang sepanjang perkhidmatan . Seusai lahir dah dapat naik flight ke Labuan dan Semenanjung . Beruntungnya Angah . Sama seperti Along , Angah banyak bersama Kak Dayang takala Abah dan emak sibuk dengan aktiviti sekolah .
Bermula dengan SK Rompin , ke peringkat menengah SM Agama Rompin . Duduk di persekitaran asrama pelajar perempuan SM Agama Rompin , menjadikan Angah mudah belajar bersosialisasi dan menyerlahkan kematangan , bakat kepimpinan dan keberanian . Pergaulan dengan kakak-kakak senior , menjadikan angah lebih cepat matang berbanding adik beradik yang lain ketika itu .
Seusai PT3 , abah pindahkan ke SMK Rompin . Abah faham Angah tidak selesa . Tetapi setakat itu , itulah pilihan yang abah ada . Jika terus berada di SMAR , dengan lingkungan status angah dan legasi bekas keberadaan emak di SM Agama Rompin sebagai guru dan warden , memungkinkan angah terasa popular dan akan hilang fokus untuk terus belajar .
Alhamdulillah!..... Ngah cemerlang di SMK Rompin .Tak sesia pertukaran yang abah buat ...... Seusai SPM , Angah ke IPGM Raja Melewar , Seremban . Kos PBMSK ( Pengajian Bahasa Melayu Sekolah Rendah ) . Major BM dan minor PJK , walaupun peringkat awal , ramai kekawan angah mencadangkan major BM , minor Pendidikan Moral . Alhamdulillah ! , Angah akur nasihat abah dengan mak , ambillah major B. Melayu , minor PJK . Abah dan mak cadangkan gitu kerana abah melihat kekuatan untuk gabungan nih ada pada angah . B. Melayu kerana opsyen abah dan mak di sekolah adalah BM , memudahkan Ngah membuat rujukan . PJK pula , kekuatannya ada pada angah sendiri .
Angah sejak lahir memang mempunyai struktur tubuh yang tegap , kekuatan yang semula jadi , koordinasi dan fleksibaliti yang baik ( Ciri-ciri ahli sukan semula jadi ) . Sebagai guru yang banyak mengurus sukan , abah nampak ciri-ciri ini ada pada angah sejak dulu lagi . Itu sebab abah tak menghalang , jika angah ingin menjadi wakil sekolah dalam acara badminton ke peringkat MASISUPA , MSSD Rompin , MSS Pahang dan Sukan Remaja Pahang . Ingatlah sesuatu yang mudah diusahakan tidak semestinya akan memudahkan perjalanan hidup kita dan ada kalanya yang sukar diusahakan itu akan memberi kita ruang yang lebih mudah dalam perjalanan hidup .
Tercapai hajat nak melihat Ngah mengikut jejak abah dan emak untuk menjadi guru . Seusai bergraduasi , Ngah menerima instrim KPM dan ditempatkan di Kapit Sarawak . Beruntung abah dan mak .
Seketika di tepian Sungai Rajang , Bandar Sibu - pelabuhan darat utama di Sarawak . |
Pelabuhan darat bandar Kapit . Sampai juga kami ke sana ... urus Angah interim di SK Nanga Yong , Kapit . |
Tiga bulan Ngah di sana . Banyak pengalaman yang angah lalui di sana . Mencari line talian , mengunakan sampan / bot untuk ke sini ke sana dan tinggal dalam kuarters yang serba kekurangan . Ingatlah .... titipan pengalaman yang angah lalui bukan satu kebetulan , tetapi itulah ingatan Allah ... agar kita selalu menghargai apa yang kita ada kerana ketika yang sama , ingatlah ada insan lain yang tiada apa-apa .
Seusai panggilan posting keluar , angah diposting kembali ke Semenanjung , di SK Selancar 2 , Rompin . Masih dalam daerah walaupun agak jauh dari rumah . Apapun .... Alhamdulillah .....Syukur kepada Allah kerana dikongsikan pengalaman dan permulaan perjalanan kerjaya yang terbaik untuk angah . Moga menjadi rencah terbaik untuk angah mencorakkan kerjaya pada masa hadapan .
Dengan kecenderungan , minat dan keupayaan Ngah yang boleh merancang . melatih dan mengurus atlir-atlit sekolah , daerah dan negeri hingga ke peringkat MSSM , abah percaya Ngah boleh jadi seorang guru yang bertitlekan jurulatih atau pegawai pengurus sukan / kokurilum yang terbaik pada masa akan datang . Gunakanlah kekuatan ini untuk angah membina ruang lingkup kerjaya perguruan di peringkat yang lebih tinggi dan cemerlang . Itulah kekuatan angah ............ Begitu juga dengan penglibatan angah melalui PSKPP dan lain-lain aktiviti luar dan sokongan , teruskan!...... kerana semuanya akan menjadi garam perasa dalam angah mencorakkan kerjaya pada masa hadapan . Kerjaya perguruan angah akan hambar jika tiada nilai tambah dari semasa ke semasa kerana pada pandangn abah , karektor ekstovert angah tidak mengizikan angah duduk dalam zon selesa di sekolah . Angah perlukan persekitaran luar sekolah untuk mengimbangan tugasan dalaman di sekolah .
Majlis Konvokesyen IPGRM Raja Melewar , Angah di MAEP Serdang. Tahun ke 2 , hadiri konvokesyen selepas konvokesyen Alang tahun lepas - terasa kepuasan . Tkasih Angah . |
Bersama Team Rompin semasa muncul sebagai Naib Johan Kejohanan Bola Tampar MSSP 2022 Perempuan bawar 12 tahun . |
2.3. Aina Abah .
Anak kelahiran Rompin / Pahang yang pertama . Lahir ketika abah bertugas sebagai warden di SMK Rompin , menjadikan Aina anak asrama . Terhimpit dengan Angah dan Along menyebabkan Aina lebih suka menyendiri tetapi rapat dengan Abah .
Bermula dengan SK Rompin ke SM Agama Rompin kononnya untuk beriringan dengan Angah di asrama . Rupanya bertahan setahun , kemudian berulang dari rumah . Abah faham sukar untuk Aina menyesuaikan diri dengan situasi asrama kerana situasi kehidupan di asrama memerlukan pelajar-pelajar yang berkarektor ekstrovert . Dalam situasi di asrama , pelajar-pelajar berkarektor introvert memerlukan ruang dan masa untuk menyesuaikan diri .
Apapun biarpun berulang dari rumah , Ainalah pelajar tunggal ambil Geografi SPM di SMAR , Belajar secara bersendirian , bergurukan abah dan sesekali bersama program kelas bimbingan sekolah abah . Alhamdulillah ........ GPSnya 0 . Rekod antara mata perlajaran terbaik dalam SPM 2013 & kekal sehingga sekarang di SMA Rompin ...... Alhamdulillah !............ Merasa juga Aina meraih anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Pahang yang diterima daripada Dato' Seri Adnan b. Yaakob pada masa itu / tahun 2013 ....... Tahniah wat Aina .
Terima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Pahang , SPM 2013 . |
Seusai SPM dengan 8A , ke Tingkatan 6 SMK Rompin , walau pun asalnya mendapat tawaran dari Kolej Matrikulasi Perakunan Kuala Pilah , Negeri Sembilan . Di Tingkatan 6 SMK Rompin , 360 darjah perubahan ketara kepada penampilan dan karektor Aina . Daripada berkarektor introvert kearah ekstovert , daripada seorang seorang yang pendiam kepada peramah seadanya . Daripada penakut , ada keberanian untuk menampilkan keupayaan dan bersuara . Nampak wujud kematangan sebagai persediaan ke universiti , sesuai dengan peranan Tingkatan 6 sebagai wadah persediaan mahasiswa untuk ke universiti . Tahniah Aina ...... Alhamdulillah . Dengan pencapaian 3A, 1B seusai tamat STPM , dapat juga Aina ganjaran RM 500.00 daripada YB Dato' Hassan b. Ariffin ( MP Rompin ) ketika itu kerana A dalam mata pelajaran Ekonomi .
Terima Insentif Pencapaian A m/p Ekonomi dalam STPM 2015 daripada MP Rompin ( Dato' Hassan b. Ariffin ) |
Menunggu result , Ainalah peneman setia Abah ketika 2 minggu di Hospital Rompin dan hampir 4 bulan Abah duduk di HTAA dari Disember 2014 hingga April 2015 di Kuantan . Siang jaga abah , malam dan jika ada kelapangan Aina study untuk ulangan STPM P3 . Alhamdulillah ...... Aina lulus dengan cemerlang dalam Ulangan P3 dan STPM keseluruhannya . Banyak kenangan di sana. .
Menemani abah sepanjang 4 bulan abah berada di hospital . Ramai staf dan kenalan abah di hospital mengkagumi ketabahan dan mendoakan kejayaan Aina . |
Seusai panggilan " U " diperolehi , dengan yakin kos Kewangan Islam / UPSI Aina terima .Abah serah bulat-bulat kat Aina buat pilihan . Siap dengan bayaran pendahuluan sudah kita lunaskan . Seketika nak bertolak , panggilan dari USM / Kos Sains Sosial ( Geografi dan Pendidikan ) ditawarkan . Terpana seketika kita !......
Tapi itulah yang Aina inginkan .. kan . Dua kali mencuba Program Pensiswazahan Guru Lepasan SPM ( PGLSPM ) KPM gagal di peringkat ujian kecergasan dan ujian bertulis , inilah peluang Aina . Pun masih abah serah pada Aina untuk buat keputusan .... Dalam perjalanan ke USM , panggilan UKM / Kos Geografi tapi tiada " Pendidikan " pula Aina diterima . Mujurlah ... dah berada di utara . Benarlah ... jika ada kecemerlangan , di situ akan diiringi dengan ruang dan peluang . Alhamdulillah !... moga perjalanan dan urusan Aina sentiasa dipermudahkan !.... semudah dan selembut hati Aina ketika menjaga abah semasa abah sakit.......
Majlis konvokesyen Aina . Alhamdulilah !.. Tahun ke 3 , berulangan abah dan emak menghadiri konvokesyen . |
Majlis Tauliah Pegawai SISPA Aina . Tahniah ..... |
Merai majlis Tauliah Pegawai SISPA Aina |
Tiga tahun , sibuk dengan tugasan dan aktif dalam SISPA , tamat juga perjuangan anak Abah . Alhamdulillah !... Tahniah !... wat Aina Abah . Dengan Latihan Mengajar ( LM ) di Sek Men. Dato' Panglima Bukit Gantang , Parit Buntar , akhirnya Aina dipostingkan di SMK Jelai ( F ) , Gemas , Negeri Sembilan .
2.4. Ateh Abah .
Selang setahun kelahiran dengan Aina , menjadikan Aina dan Ateh agak rapat . Adakalanya Ateh menjadi pengikut setia Angah dan pendamping setia Achik .
Tidak banyak kerenah dan mudah abah dan emak nak urus . Pada abah , Atehlah , antara anak abah yang hitam dan putihnya jelas kelihatan . Abah tabik dengan karektor Ateh . Apapun , dalam kehidupan , hitam dan putih perlu ada keseimbangan dan diputuskan dengan penuh hikmah dan kewajaran . Sesekali kena belajar ambil dan menghadapi risiko , jika ingin mengorak langkah yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
Bermula dengan SK Rompin ke SMK Rompin . Seusai PT3 memohon ke SBP dan ditawarkan ke SMS Seremban / SMS Tengku Mukhriz , Seremban . Mungkin kerana aliran data si abang , menyebabkan si adik juga ditawarkan di SBP yang sama . Tiada kabel dan semuanya kerana pemberian Allah . Rezeki Ateh dan Allah nak permudahkan pergerakan abah mengurus anak-anak abah pada masa ini . Masa ini , abah ada dua anak di Seremban , angah di IPGM Raja Melewar dan Ateh di SMSTM .
Seusai SPM mendapat tawaran di pusat Asasi UIAM Petaling Jaya . Alhamdulillah !.... Allah kumpulkan tiga anak abah di bahagian tengah Semenanjung . Angah di Seremban , Achik di MTD Sungai Besi dan Ateh di Petaling Jaya .
Setahun setengah di sana , menyambung pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Biokimia di UIAM Gombak . Seusai tamat belajar , PKP Covid 19 terjadi .
Hampir setahun setengah terkapai-kapai . Awal tahun 2020an , ambil Kursus NHIOS ( Keselamatan dan Kesihatan dalam Pekerjaan ) di Kuantan .
Seusai tamat kursus , mendapat pekerjaan sebagai pegawai ,,,di .... .
2.5. Achik Abah .
Selang setahun kelahiran dengan Ateh . Lahir di Hospital Rompin . Jarak kelahiran yang rapat menjadikan Achik dan Ateh kelihatan hampir sebaya dan ada kalanya ,persis kembar yang mengelirukan yang mana abang , yang mana adik .
Bermula dengan SK Rompin dan kemudiannya berpindah ke SK Kg Kolam . Usai tamat sekolah rendah , terus ke SMK Rompin . Di awalnya , sempat berpindah ke SM Agama Pahang di Muadzam Shah kerana inginkan aliran agama . Setahun di SM Agama Pahang , kembali ke SMK Rompin . Sangat berminat dalam unit uniform aktif dalam pasukan Kadet Polis sekolah . Terima kasih Cgu Yusnita bt. Yusoff dan Cgu Nor Azizah bt. Hamzah kerana berupaya memupuk minat Achik dalam unit Kadet Polis sehingga mewakili sekolah ke Perkhemahan Kadet Polis peringkat Negeri dan Kebangsaan .
Selepas PT3 , mendapat dua tawaran . Di SBP / SMS Seremban / SMS Tengku Mukhriz , Seremban dan Maktab Tentera Diraja ( MTD/RMC ) Sungai Besi . Achik memilih untuk memasuki RMC dan abah sokong pilihan Achik . Seingat Abah , pendaftaran Achik , anak-anak abah yang lain dan emak yang urus kerana abah masih belum pulih dari sakit . Berpapah ketika naik dan turun kereta , abah tetap gagahi . Biarpun abah hanya sekadar mampu melihat sahaja pendaftaran Achik dari dalam kereta . Apapun ,.... Abah tetap bangga dengan achik .
Seusai SPM , memohon untuk memasuki Pusat Asasi UPNM / Universiti Pertahanan Nasional Malaysia , tetapi tidak berjaya . Nampak menyusut semangat untuk meneruskan penerokaan dalam unit beruniform ketika ini . Apapun suntikan semangat tetap abah diberikan , agar pengalaman semasa di RMC boleh dicerakinkan dalam membina ruang kerjaya yang lebih luas dan cemerlang pada masa hadapan . Bertabahlah anak abah.
Meneruskan pelajaran di pusat Matriklulasi Gambang , Kuantan dan melanjutkan pelajaran ke UTHM Pagoh dalam bidang Kejuruteraan Elektrik . Seawal pengajian seolah-olahnya , tidak berminat untuk menyertai apa-apa pasukan unit beruniform .
Walau bagaimana pun Semester ke dua di UTHM , mula berminat kembali terlibat dalam PALAPES dan sanggup berulang saban bulan ke lapang perwira kampus induk UTHM di Parit Raja , Batu Pahat semata-mata untuk menyertai latihan dan aktiviti . Abah tabik dengan kesungguhan dan komitmen achik . Achik memang yang terbaik !....... Manisnya , menerima Tauliah Pegawai Kadet Diraja pada September 2023 . Satu detik yang sememangnya abah tunggu.
Terima kasih Achik , ..... kerana berusaha dengan gigih menjayakan impian abah untuk melihat achik berjaya meneruskan misi RMC yang tergendala apabila gagal ke UPNM . Mungkin ada pengajaran yang Allah nak Achik pelajari . Di mana ada kemahuan di situ ada jalan dan jika dah ditakdirkan itulah rezeki Achik .... Inshaa Allah !.... ia tetap milik achik , cuma laluannya mungkin berbeza dari biasa .
Apapun , Tahniah !..... untuk anak abah , Leftenan Muda Mohamad Nur Farezudin b. Mohd Zainudin . Moga ia menjadi titik mula kerjaya yang lebih cemerlang untuk Achik . Inshaa Allah!..... graduasi bulan Disember 2023 nanti , akan menoktahkan laluan kerjaya terbaik untuk Achik . Itulah doa dan harapan abah .
2.6. Aflah Abah .
Si bongsu abah dengan pelbagai kerenah dan memiliki pelbagai karektor . Kelahiran di Hospital Tengku Ampuan Afzan ( HTAA ) , Kuantan . Memiliki penampilan yang agak unit dan menarik . Seawal kanak-kanak sudah menunjukkan kelainan karektor . Tahap sosialisasi yang tinggi membentuk karektor yang mudah untuk berinteraksi dengan pelbagai karektor dalam komuniti masyarakat sekitar walaupun dengan golongan yang lebih berusia serta mempunyai tahap keyakinan dan keberanian yang tinggi. Tangkap katak , tangkap ular , kerjar ayam sehingga ayam lumpuh !... sesuatu yang unik dan lucu . Tetapi itu memori yang Aflah hidangkan untuk abah ingat . Pemancing tegar pun ia jugak !....
Paling banyak berpindah sekolah , seiring pertukaran tempat bertugas si emak . Bermula di SK. Kg Kolam , kemudian ke SK. Rompin , Selepas itu ke SK Seri Kemajuan / Baru Pahat dan kembali ke Rompin iaitu SK Sg Puteri untuk menghabiskan sesi persekolahan peringkat rendah .
Kemudiannya , meneruskan pembelajaran menengah di SMK Rompin sehingga tamat SPM . Minat yang mendalam terhadap bidang kemahiran menyebabkan ia memilih IKM Lumut untuk mengambil Diploma Teknologi Automotif .
3.0. Antara Doa dan Harapan .
No comments:
Post a Comment